Thursday, June 5, 2008

Minyak dan ubi


Harga minyak yang naik mendadak mengakibatkan ramai yang keluh kesah dan tidak kurang juga yang berasa marah akan perkembangan yang agak memeranjatkan ini. Majoriti penduduk negara ini berpendapat kenaikan harga minyak yang tinggi ini akan mengakibatkan kenaikan harga barang-barang keperluan lain terutamanya bahan makanan yang sudah pastinya akan membebankan mereka. Ianya satu kesan domino yang boleh djangkakan.

Dalam pada menangani harga bahan makanan yang semakin mahal, Perdana Menteri kita menyarankan agar kita kurangkan makan nasi dan bertukar kepada alternatif lain seperti ubi kayu?....ya...ubi kayu! Mengikut cerita ayah saya, pada zaman dahulu ketika Malaya di serang askar Jepun, maka ramailah penduduk-penduduk kampung melarikan diri ke dalam hutan termasuk ayah saya dan keluarganya sendiri. Oleh kerana ketiadaan beras untuk di makan, maka mereka ini hidup hanya dengan memakan ubi kayu dan apa jua sumber hutan yang ada.

Di zaman sekarang ini jika semua penduduk menyambut seruan Perdana Menteri untuk memakan ubi sebagai ganti kepada nasi, cukupkah ubi-ubi kayu yang ada di Malaysia ni untuk menampung keperluan tersebut? Yang kita tahu, tidak banyak ladang ubi komersial yang besar ada di Malaysia dan ini mengakibatkan negara terpaksa mengimpotnya dari negara luar. Jika permintaannya tinggi dan bekalannnya kurang, bukankah ini juga akan mengakibatkan harga ubi tersebut dengan secara automatiknya menjadi tinggi...?

Tapi, apa yang pasti jika semua rakyat makan ubi, maka bersiap sedia untuk menyaksikan peperangan hebat... bukan peperangan menggunakan senjata, tetapi peperangan membuang angin dari perut sebab ubi ni memang ada banyak angin. Hasilnya, udara yang kita hirupkan ini juga tercemar dek bau-bauan akibat dari peperangan tadi...pett! poott! broot!...phewittt...!

Saturday, May 31, 2008

Sukma dan Payang


Kini satu Malaysia tertumpu kepada Kuala Terengganu kerana SUKMA sedang berlangsung di sana. Maka ramailah yang datang untuk memeriahkan sukan kebanggaan Malaysia ini, termasuk juga mereka yang mengambil peluang untuk menghabiskan cuti sekolah dengan menghabiskan duit. Tetapi seramai mana mereka yang berada di arena pertandingan untuk memberi sokongan, ianya masih tidak dapat menandingi jumlah orang yang berada di Pasar Payang pada masa yang sama. Bolehlah disimpulkan bahawa jika si Ayah mahu datang menyokong si anak bertanding, si Ibu pula datang untuk shopping sakan di Pasar Payang.

Maka bersesak-sesaklah mereka di dalam pasar tesebut dengan berbagai-bagai ragam. Kelihatan seorang makcik yang kedua-dua tangannya memegang beberapa beg plastik yang penuh sarat dengan barang yang dibeli tiba-tiba berhenti di suatu kedai. Disebabkan makcik tadi berhenti, maka terhentilah juga perjalanan orang dibelakang dan terciptalah satu "traffic jam" yang teruk. Makcik tadi melepaskan beg-beg di tangan kanannya lalu mengangkat tinggi tangannya menuding kepada barang yang mahu dibelinya, dan serta-merta terkeluarlah bau-bauan yang kurang enak. Maklumlah di dalam keadaan berpeluh-peluh dan berhimpit-himpit di dalam keadaan yang panas, mana-mana deodorant pun kalah. Jadi, orang-orang dibelakang tadi terpaksalah menghidunya kerana dah tak boleh bergerak, nak pusing balik pun tak boleh... ish...ish.

Di suatu sudut yang lain kelihatan pula beberapa longgok telur penyu untuk dijual. Kini harganya melonjak naik kerana kurangnya bekalan akibat sudah tidak banyak lagi penyu yang mendarat untuk bertelur di pesisir pantai Terengganu. Walaupun kerajaan menggesa agar telor-telor ini tidak dijual kepada umum secara berleluasa, namun ianya masih lagi berlaku. Mungkin jika kita sebagai pembeli perlu berhenti dari menikmati telor penyu ini, dan secara tidak langsung ia akan menghentikan perniagaan tersebut. Seperti yang kita ketahui penyu yang berada di tengah roundabout Kuala Terengganu telahpun lama pupus, kita juga tidak mahu yang berada di laut juga turut sama pupus...

Friday, May 30, 2008

Jumaat dan pisang


Tiap kali tiba hari Jumaat yang mulia maka ramailah umat Islam lelaki baik tua, muda, sudah akil baligh dan belum akil baligh akan menunai fardhu Jumaat berjemaah di masjid-masjid di seluruh negara kita. Pada masa yang sama terdapat beberapa saudara seislam yang begitu bermurah hati membawakan pelbagai bentuk makanan termasuk buahan untuk disedekahkan kepada umat islam yang datang menunaikan fardhu ain ini. Satu niat yang baik kerana bersedekah itu sememangnya dituntut oleh Agama Islam.

Tapi yang menarik perhatian adalah apabila mereka memilih pisang untuk disedekahkan. Sebaik sahaja kotak yang sarat berisi pisang diletakkan di dalam perkarangan masjid (selalunya dekat dengan tempat ambil air sembahyang) dan ia diletakkan di situ sebelum masuk waktu sembahyang, maka berpusu-pusulah para jemaah mengerumuni pisang tersebut untuk di makan. Jika diamati cara mereka makan, ada yang kelihatan seperti sememangnya menunggu kehadiran pisang tersebut untuk dimakan (rutin tetap, tiap hari jumaat mesti pekena pisang), ada yang kelihatan sangat lapar mungkin tak makan tengahari lagi kot, ada yang kelihatan tidak lapar cuma nak join "crowd" aje dan cara mereka menjamu selera ada yang makan perlahan-lahan, ada yang makan cepat-cepat, ada yang gelojoh dan ada yang telan sebiji sekali gus! Begitulah keadaannya. Kadang-kadang ia kelihatan seolah-seolah seperti yang selalu kita lihat di dalam National Geographic, cuma keadaan sekeliling yang berbeza...hmmm?

Bukan untuk mengejek atau memperlekehkan sesiapa, tetapi imej kita sebagai umat islam semestinya dijaga. Cuba bayangkan jika ada mereka yang bukan beragama Islam kebetulan melalui perkarangan luar masjid tersebut dan melihat gelagat-gelagat ini di dalam masjid, tentu ianya menjadi bahan jenaka mereka. Jadi, rasanya adalah elok jika disedekahkan buah-buahan lain atupun makanan lain sebagai alternatif walaupun kita tahu pisang adalah murah harganya dibandingkan dengan buahan lain. Bukankah niat si pemberi sedekah untuk melihat mereka menikmati makanan yang disedekahkan dimakan dengan sempurna?....