Saturday, May 31, 2008

Sukma dan Payang


Kini satu Malaysia tertumpu kepada Kuala Terengganu kerana SUKMA sedang berlangsung di sana. Maka ramailah yang datang untuk memeriahkan sukan kebanggaan Malaysia ini, termasuk juga mereka yang mengambil peluang untuk menghabiskan cuti sekolah dengan menghabiskan duit. Tetapi seramai mana mereka yang berada di arena pertandingan untuk memberi sokongan, ianya masih tidak dapat menandingi jumlah orang yang berada di Pasar Payang pada masa yang sama. Bolehlah disimpulkan bahawa jika si Ayah mahu datang menyokong si anak bertanding, si Ibu pula datang untuk shopping sakan di Pasar Payang.

Maka bersesak-sesaklah mereka di dalam pasar tesebut dengan berbagai-bagai ragam. Kelihatan seorang makcik yang kedua-dua tangannya memegang beberapa beg plastik yang penuh sarat dengan barang yang dibeli tiba-tiba berhenti di suatu kedai. Disebabkan makcik tadi berhenti, maka terhentilah juga perjalanan orang dibelakang dan terciptalah satu "traffic jam" yang teruk. Makcik tadi melepaskan beg-beg di tangan kanannya lalu mengangkat tinggi tangannya menuding kepada barang yang mahu dibelinya, dan serta-merta terkeluarlah bau-bauan yang kurang enak. Maklumlah di dalam keadaan berpeluh-peluh dan berhimpit-himpit di dalam keadaan yang panas, mana-mana deodorant pun kalah. Jadi, orang-orang dibelakang tadi terpaksalah menghidunya kerana dah tak boleh bergerak, nak pusing balik pun tak boleh... ish...ish.

Di suatu sudut yang lain kelihatan pula beberapa longgok telur penyu untuk dijual. Kini harganya melonjak naik kerana kurangnya bekalan akibat sudah tidak banyak lagi penyu yang mendarat untuk bertelur di pesisir pantai Terengganu. Walaupun kerajaan menggesa agar telor-telor ini tidak dijual kepada umum secara berleluasa, namun ianya masih lagi berlaku. Mungkin jika kita sebagai pembeli perlu berhenti dari menikmati telor penyu ini, dan secara tidak langsung ia akan menghentikan perniagaan tersebut. Seperti yang kita ketahui penyu yang berada di tengah roundabout Kuala Terengganu telahpun lama pupus, kita juga tidak mahu yang berada di laut juga turut sama pupus...

No comments: